Ternyata Ramadhan kali ini benar-benar menduga aku. Lapar dan dahaga itu sudah semestinya,namun itu semua masih bisa aku tahan. Dugaan nafsu dan emosi yang nyata membuat aku tewas. Terlalu banyak masalah yang timbul kala waktu genting sebegini membuatkan aku hilang kawalan dan mudah melenting. Apatah lagi apabila aku merasakan mengapa semua itu harus tertimpa ke atasku dan bukannya orang lain? ahh..
Aku mula mempersoalkan mengapa dugaan tak putus-putus mendatangi aku sejak kali pertama aku melangkah ke alam itu. Kerapkali aku tersungkur tika sedang cuba untuk mengorak langkah ke hadapan dan meneruskan kehidupan. Pernah aku rasakan seperti tak mampu untuk bangkit kembali. Mujur ada mereka-mereka yang masih memahami dan tidak jemu-jemu memberi nasihat, semangat serta motivasi. Juga syukur kepadaNya kerana masih memberi semangat baru dan membuka minda serta hatiku untuk terus berjalan ke arah sinar yang diredhai.
Kini, peristiwa itu seolah menghantui aku kembali.Hadirnya dalam bentuk yang agak berbeza, namun cukup untuk melumpuhkan aku. Puas aku memohon dan meminta belas kasihan daripadaNya kerana dalam hati ini tetap yakin bahawa Dia akan tetap bersama walau dalam apa jua keadaan yang aku tempuhi. Kadangkala, akan terhambur jua nafsu amarah kerana rapuhnya iman dan terlalu mengikut perasaan. Barangkali, diri ini terlupa untuk mengingatiNya sedangkan Dia telah memberi peluang serta ganjaran yang besar buat hamba-hambaNya terutama sekali di bulan yang penuh barakah ini.
Dengan mudah dan betapa pemurahNya Dia memberikan ganjaran pahala atas setiap kebaikan yang dilakukan oleh kita sepanjang bulan mulia ini. Tinggal untuk direbut sahaja peluang keemasan ini. Ketewasan aku dalam menempuhi dugaan yang sedikit ini sedikit sebanyak mencacatkan peluang untuk meraih kemenangan percuma. Kesal juga kerana harapan telah dipasak tinggi menjulang untuk meraih hadiah utama meski diri tidak begitu sempurna. Tambah kesal bila kadangkala aku melempiaskan amarah kepada orang lain sedang mereka tidak berbuat apa-apa pun! Maafkan aku..
Semoga sisa-sisa Ramadhan yang masih ada, akan aku temui sesuatu yang berharga..suatu sinar yang bakal menerangi sepanjang jalan kehidupanku seumur hidup ini. Yang pasti, dugaan yang telah hadir dan bakal hadir akn aku lalui dengan tabah dan redha kerana sesungguhnya, Dia bijak merencana dan tahu bahawa hambaNya mampu menanggung dugaan yang diberi.
Ya Allah! Kuatkanlah iman dan teguhkan hatiku agar aku redha dengan setiap ketentuan serta ujian dariMu serta tetapkan aku di atas jalan yang benar. Jadikan aku pejuang yang tak akan pernah mengalah hingga aku beroleh kemenangan dalam perjuanganku demi mencapai redha dan rahmat daripadaMu..ameen..
~kumengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna, agar dapat kulalui dgn sempurna~
No comments:
Post a Comment