Salam,
Oleh kerana aku berasa rajin, aku ingin kongsikan sedikit pembacaan aku mengenai pengalaman Ustaz Hasrizal Abdul Jamil di bumi khilafah Uthmaniyyah, Turki yang telah beliau tulis dalam bukunya yang bertajuk “Secangkir Teh pengubat Letih” itu. Memang sangat tidak rugi untuk membaca buku ini kerana ada banyak ilmu serta pengajaran yang dapat diambil daripada perjalanan serta pengalaman beliau tersebut. Ayuh kita membuat pengembaraan ringkas ke sana!
Turki, sebuah negara yang padanya Islam pernah gemilang yakni di sekitar era pemerintahan khilafah Uthmaniyyah. Mungkin kita takkan pernah menyangka bahawa kegemilangan itu akhirnya lenyap dan digantikan pula dengan penyakit sekularisme yang dibawa oleh manusia terkutuk bernama Mustafa Kamal Attarturk itu. Bagi mereka yang pernah melawat Turki, pasti ada yang mengatakan bhw Negara itu sudah sangat teruk keadaannya kerana membiarkan majalah-majalah lucah dijual secara bebas di kaki-kaki lima, pantai bogel di Izmir dan keruntuhan social yang amat menyedihkan. Pasti ada yang menjangkakan bahawa Islam di sana telah lenyap dimamah oleh sekularisme. Namun hakikatnya, menurut Ustaz Hasrizal yang sudah hampir lebih 20 kali beliau menjejakkan kaki ke bumi khilafah itu, Turki seharusnya dilihat dari dalam dan bukannya luaran semata-mata.
Menelusuri perjalanan beliau di Turki, terdetik di hati ini bermacam perasaan. Kagum dengan masyarakat Islamnya dan sedih dengan musibah yang menimpa mereka iaitu dengan kewujudan pelbagai krisis yang dibawa oleh musuh-musuh Islam. Turki sebenarnya tidak hanya mempunyai bahagian yang secular, tetapi masih ada kawasan yang kuat mempertahankan keislaman mereka. Jikalau kelompok sekularnya sangat jauh cara hidup mereka dari Islam, golongan yang islamik pula sangat komited berpegang dengan agama Allah ini. Bagi mereka, seolah-olah tidak pernah wujud manusia yang bernama Attarturk dan Ismet Inonu. Suasana dalam kalangan masyarakat Islam mereka masih terjaga elok, dan dengan semangat juang yang kental, mereka tidak pernah berhenti melawan bagi memastikan Islam akan mencapai kemenangan yang dijanjikan Allah suatu hari nanti. Mereka tidak pernah sekali-kali meletakkan senjata sedari era Badiuzzaman Said An Nursi, Adnan Menderes, Necib Fazil, Erbakan hinggalah Erdogan. Turki bukanlah lambang kejayaan sekularisme menguasai umat Islam tetapi ia adalah medan tempur antara Barat dan Timur.
Meneropong ke dalam masyarakat Islam di Turki, antara yang boleh kita ambil iktibar dan kagumi ialah betapa golongan ini sangat menghargai Islam dan kalamullah khususnya. Aktiviti menghafal Al-Quran sangat aktif dengan wujudnya banyak sekolah tahfiz yang walaupun sering menjadi sasaran tentera, namun ia tetap hidup demi melahirkan huffaz di kalangan umat Islam di situ. Rata-rata kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan 10-12 tahun telah pun berjaya menghafal keseluruhan Al-Quran meski pun mereka tidak mampu berbahasa arab. Di sini dapat dilihat mukjizat Al-Quran itu adalah benar. Malah, apa jua pekerjaan seseorang itu, sebenarnya mereka itu terdiri daripada para penghafal Al-Quran.
Banyak lagi kelebihan yang terdapat pada masyarakat Turki. Antaranya, mereka ini sangat setia menonton siaran berita. Di Turki, siaran beritalah yang paling popular di kalangan masyarakat mereka. Semasa siaran berita, semua aktiviti yang sedang dilakukan akan diberhentikan seketika. Ini menunjukkan bahawa penyebaran maklumat tentang perkembangan semasa sangat meluas di sana. Budaya ilmu di sana juga dilihat amat baik dengan penterjemahan buku yang sangat meluas dan lebih attached dengan kolumnis dan penulis di akhbar. Malah perbualan di kedai-kedai kopi juga bukan sekadar cakap-cakap kosong tetapi berisi dengan topic-topik mengenai isu semasa yang timbul di akhbar pada hari itu. Mereka mempunyai buah fikiran serta idea yang tersusun dan suka berfikir. Budaya tekun mendengar penjelasan dan berfikir sebelum berkata-kaata memudahkan laluan perubahan.
Seperkara lagi, peda pengamatan ustaz, orang Turki ini sangat cermat terhadap perkara-perkara kecil dan halus. Perkara yang mungkin tidak memberi sebarang makna atau signifikan kepada kita amat dititik beratkan oleh mereka. Misalnya, mereka akan membasuh gelas sebelum menuang air minuman sedangkan gelas yang diambil dari rak pinggan itu telah pun dibasuh sebelum ini. Hinggakan kepada perkara seperti menamakan anak pun dititik beratkan oleh mereka. Kebanyakan orang Turki menggunakan nama Mehmet instead of Muhammad. Pada mereka, nama Muhammad itu dikhususkan kepada rasulullah SAW. Andai anak-anak mereka dinamakan Muhammad, bimbang perbuatan tidak elok anak-anak ini akan dinisbahkan kepada nama semulia baginda nabi Muhammad SAW. Uniknya juga masyarakat Turki ini ialah ke’gila’an mereka terhadap teh. Kuatnya mereka minum teh sehinggakan setiap waktu tak kira pagi, tengahari, petang mahupun malam, teh pasti menjadi minuman utama. Teh mereka juga sangat menyegarkan dan takkan menyebabkan sakit perut kerana the akan dimasak terlebih dahulu. Teh direbus dengan air sehingga masak sampai serbuk teh menjadi lembut. Gula pula akan dihidang secara berasingan.
Namun, keadaan yang berlaku di Turki pada masa kini sangat menyedihkan terutama buat saudara-saudara kita yang beragama Islam. Penindasan demi penindasan serta krisis-krisis yang timbul amat menyakitkan. Mujurlah keimanan mereka masih utuh dalam menerima ujian ini. Antara krisis yang berlaku ialah kejatuhan mendadak matawang mereka iaitu Lira dalam masa yang singkat, kebanyakan institusi Islam ditutup, sekolah agama ditekan dan pusat hafalan Al-Quran pula dihapuskan. Tak cukup dengan itu, pelajar perempuan tidak dibenarkan bertudung atau sekiranya mereka berdegil, mereka akan digagalkan dari pengajian. Mereka terpaksa membuat pilihan antara IMAN dan IMPIAN. Bukan setakat di institusi pendidikan, di pejabat-pejabat awam juga larangan pemakaian tudung dikuat kuasakan. Malah di Parlimen juga! Semuanya berlaku sejak pengambilalihan kuasa oleh pihak tentera pada 28 Februari 1997. Mereka ini adalah golongan yang dibayangi oleh anggapan Attarturk sebagai Tuhan. Bumi khilafah itu makin parah dan kian berdarah. Ayuh kita panjatkan doa buat saudara-saudara kita di sana.
Oleh kerana itulah ustaz menekankan betapa pentingnya kita mempelajari sejarah agar pisang tidak berbuah dua kali. Kerana dengan mempelajari sejarah, kita memahami Sunnatullah yang mengatur kehidupan manusia. Pada sunnatullah itulah kita mengenal kitaran jatuh bangunnya mereka. Setelah diketahui akan sebab musabab terjadinya sesuatu, terhapuslah rasa hairan atau kagum yang melampau. Kita juga takkan mudah menelan bulat-bulat maklumat sejarah yang telah dieksploitasi oleh golongan orientalis. Erbakan pernah berpesan dalam ucapannya, “ Umat yang tak mahu menoleh kepada sejarah ialah umat yang rugi. Umat yang tiada sejarah, tiada baginya masa depan !”. Beliau turut memetik kata-kata Saidina Umar al Khattab r.a, “ Ambillah iktibar daripada sejarah. Kita adalah kaum yang Allah muliakan dengan Islam. Jika kita mencari kemuliaan daripada selainNya, kita akan dihinakan.”
Ini hanya sebahagian isi kandungan buku tersebut. Banyak lagi yang dibicarakan oleh ustaz dan boleh dijadikan pengajaran buat kita semua. Ni belum masuk bab keindahan serta kesan-kesan tinggalan sejarah yang ada di sana. Aku turut menyematkan impian untuk ke sana suatu hari nanti. Moga akan aku peroleh sesuatu yang berharga jika diizinkan Allah untuk mengembara di Turki. Moga apa yang baik kita jadikan amalan dan yang buruk kita jadikan tauladan dan cuba mengubahnya kea rah yang lebih baik. Wallahua’lam.
P/s: Post yang agak panjang aku kira. Maaf buat yang berasa lelah dan jemu untuk membaca. Sekadar ingin berkongsi sesuatu yang berharga.