Saturday, July 10, 2010

Perjalanan agung

Salam ~

 " Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami.Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." ( al Israa' ayat 1 )

Ayat yang mungkin familiar buat sesetengah daripada kita. Pada 27 Rejab saban tahun, kisah perjalanan agung junjungan tercinta Nabi Muhammad SAW ini akan seringkali diperdengarkan. Bukan sekadar kisah biasa yang sengaja diulang-ulang, tapi ada peringatan serta iktibar yang boleh kita semua ambil daripadanya. Peristiwa Isra' dan Mikraj. Peristiwa besar lagi bersejarah dalam sirah baginda SAW. Peristiwa yang bukan sahaja merupakan ujian dan mukjizat baginda yang dikurniakan oleh Allah SWT, bahkan membuktikan kekuasaan dan kebesaranNya di mana setiap umat Islam mesti percaya dan beriman dengan peristiwa ghaib seumpama ini. 

Sebelum Isra' Mikraj

Rasulullah SAW mengalami peristiwa pembelahan dada sekali lagi yang dilakukan oleh malaikat Jibril dan Mikail. Hati baginda dicuci dengan air zamzam lalu dibuang ketul hitam ('alaqah) yang merupakan tempat di mana syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu dan iman ke dalam dada Rasulullah SAW. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan " khatimin nubuwwah ". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi baginda dalam perjalanan luar biasa yang di namakan Isra' itu. Di sini kita harus berfikir sejenak apakah rahsia atau rasional di sebalik penyucian hati Rasulullah SAW ini. Hati merupakan raja dlm diri seseorang manusia dan untuk meraih keistimewaan daripada Allah SWT, hati perlu mempunyai kelayakan tertentu. Hal ini telah disebut oleh Allah di dalam Al-Quran iaitu dalam surah An-Najm ayat 13-18 yang bermaksud, "hanya hati yang bersih sahaja layak untuk diperlihatkan tanda-tanda kebesaran Allah ketika Isra' serta keindahan apa yang ada dilangit dunia dan syurga ketika Mi'raj"

Isra' ( perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa )

Sepanjang perjalanan ini, Rasulullah SAW diiringi oleh malaikat Jibril dan Israfil. Apabila tiba di tempat-tempat tertentu, Jibril mangarahkan baginda berhenti dan bersembahyang dua rakaat. Tempat-tempat tersebut antara lain ialah Negeri Thaibah (Madinah),tempat di mana baginda akan melakukan hijrah, Bukit Tursina ,iaitu tempat Nabi Musa AS berbicara dan menerima wahyu secara terus daripada Allah SWT dan Baitul Laham yakni tempat Nabi Isa AS dilahirkan. Dalam perjalanan itu juga baginda menghadapi gangguan jin Ifrit dengan api jamung serta dapat menyaksikan beberapa peristiwa simbolik yang ajaib. Antaranya:




  • Kaum yang sedang bercucuk tanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil yang baru tumbuh kembali seolah-olah belum dituai dan hal ini berlaku berulang-ulang kali. Jibril kemudiannya memberitahu Rasulullah SAW : " itulah kaum yang berjihad 'fisabilillah' yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan lebih lagi."
  • Tempat yang berbau harum dan Rasulullah SAW diberitahu bahawa itulah bau kubur Masyitah ( tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suami dan anak-anaknya yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh mempertahankan keimanan mereka kepada Allah tanpa mahu mengaku Fir'aun sebagai Tuhan.
  • Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan sekali lagi. Dan ia berlaku berkali-kali. Kata Jibril: Itulah orang-orang yag berat kepala untuk sujud ( solat ).
  • Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka dengan secebis kain dan mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka turut memakan bara api dan batu dari Neraka Jahannam. Kata Jibril : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
  • Satu kaum, lelaki dan perempuan yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Itulah perempuan dan lelaki yang melakukan zina sedangkan masing-masing telah bersuami dan beristeri.
  • Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu.Itulah orang yang makan riba'.
  • Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tidak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Itulah orang yang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
  • Satu kaum yang sedan menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali ke bentuk asal dan digunting lagi. Itulah orang-orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
  • Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga. Itulah orang-orang yang makan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah orang lain.
  • Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit dan tak dapat dimasukinya semula lubang tersebut. Itulah orang yang bercakap besar (takabbur) yang kemudiannya menyesal tetapi sudah terlambat.
  • Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai hiasan tetapi Rasulullah tidak mempedulikannya. Jibril berkata: Itulah dunia. Jika baginda memberi perhatian kepadanya, nescaya umat baginda akan lebih mengutamakan dunia berbanding akhirat.
  • Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah SAW berhenti tetapi baginda tidak menghiraukannya. Itulah kata Jibril, orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.
  • Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah SAW untuk bertanyakan sesuatu tetapi tidak dipedulikan baginda. Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya baginda di Masjidil Aqsa, Rasulullah SAW turun dari Buraq dan kemudiannya masuk ke dalam masjid lalu mengimamkan solat dua rakaat yang jamaahnya terdiri daripda seluruh para anbiya' dan mursalin. Dapat dilihat betapa mulianya dan tinggi darjat baginda dalam kalangan para nabi terdahulu. Selepas itu baginda berasa dahaga lalu Jibril membawakan dua bejana berisi arak dan susu. Rasulullah SAW memilih susu lalu diminum. Kata Jibril : baginda membuat pilihan yang tepat kerana jika sekiranya arak yang dipilih baginda, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.


Mi'raj ( perjalanan dari Masjidil Aqsa ke langit dan seterusnya hingga ke Sidratul Muntaha.)


Pada masa ini, didatangkan kepada baginda sebuah mi'raj yakni tangga yang indah dari syurga. Rasulullah SAW dan Jibril naik ke atas tangga pertama lalu terangkatlah pintu langit dunia ( pintu Hafzhah ). Setiap kali baginda bertemu dengan para nabi , perkataan pertama yang diucapkan ialah Assalamualaikum. Ini menunjukkan bahawa pentingnya dan mulianya ucapan salam yang sering kita ucapkan sehari-hari dan kita perlu sentiasa mengamalkan budaya memberi salam sebagai mendoakan kesejahteraan sesama kita. Rasulullah SAW pernah bersabda : " Berilah makan dan sebarkanlah salam ( dengan ucapan Assalamualaikum ), nescaya kalian akan mewarisi syurga."

Sekarang mari kita lihat
peristiwa yang berlaku di setiap tangga yang dinaiki oleh Rasulullah SAW:




  1. Langit pertama : Rasulullah SAW dan Jibril masuk ke langit pertama lalu berjumpa dengan nabi Adam AS. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba' dan harta anak yatim dan melihat orang berzina dengan rupa dan kelakuan yang sangat hodoh dan buruk. Penzina lelaki bergantung kepada susu penzina perempuan.
  2. Langit kedua : Nabi SAW dan Jibril naik tangga langit kedua lalu masuk dan bertemu dengan nabi Isa AS dan nabi Yahya AS.
  3. Langit ketiga: Naik tangga langit ketiga dan bertemu nabi Yusuf AS.
  4. Langit keempat: Naik tangga langit keempat lalu bertemu Nabi Idris AS.
  5. Langit kelima: Naik tangga langit kelima dan bertemu nabi Harun As yang dikelilingi kaumnya Bani Israel.
  6. Langit keenam: Naik tangga langit keenam dan bertemu dengan para nabi. Seterusnya bertemu Nabi Musa AS. Baginda disuruh mengangkat kepalanya lalu dapat melihat uamt baginda sendiri yang ramai termasuk 70000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
  7. Langit ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu nabi Ibrahim AS yang sedang bersandar pada Baitul Makmur sambil dihadapi oleh kaumnya. Kepada Rasulullah SAW, Nabi Ibrahim bersabda : " Engkau akan berjumpa Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaituSUBHANALLAH,WALHAMDULILLAH,WALAILAHAILLALLAH,ALLAHUAKBAR dan WALAHAULAWALAQUWATAILLABILLAHIL'ALIYUL'ADZIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga." Selepas itu baginda masuk ke dalam Baitul Makmur lalu solat. ( Baitul Makmur terletak betul-betul di atas Baitullah dan merupakan tempat para malaikat bertawaf )
  8. Tangga kelapan: Di sinilah disebut 'al-kursi' yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul Muntaha.Rasulullah SAW menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: sungai yang airnya tidak berubah, sungai susu, sungai arak, sungai madu serta buah, daun dan dahan yang berubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas beterbangan dan semua keindahan yang tak terperi oleh manusia. Baginda juga dapat melihat air sungai Kauthar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka beserta penunggunya, Malik.
  9. Tangga kesembilan: Disini berbetulan dengan pucuk Sidratul Muntaha. Rasulullah SAW masuk dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib dalam nur 'arasy, iaitu lelaki dunia yag lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
  10. Tangga kesepuluh: Baginda sampai ke Hadratul Qudus dan Hadrat Rabbul Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepala baginda, lantas sujud. Di sinilah Allah telah memfardhukan solat 50 waktu kepada baginda.
Selesai munajat, Rasulullah SAW dibawa menemui nabi Ibrahim AS kemudian nabi Musa AS . Nabi Musa bertanya: " Apakah yang difardhukan Allah kepada kamu untuk umatmu?" Rasulullah SAW menjawab: " Solat 50 kali sehari ". Nabi Musa kemudiannya berkata : " Kembalilah menghadap Tuhanmu dan mintalah pengurangan. Sesungguhnya umatmu tidak akan mampu melakukan hal itu." Lalu baginda pun berulang alik sebanyak sembilan kali sehingga Allah berkenan mengurangkan waktu solat menjadi lima kali sehari semalam dengan mengekalkan nilai pahala bersamaan solat 50 kali.

Selepas Mi'raj, Rasulullah SAW turun ke langit dunia semula seterusnya ke Baitul Maqdis. Kemudian dengan menaiki Buraq, baginda tiba di Masjidil Haram pada malam yang sama. Baginda menceritakan perjalanan tersebut kepada kaum baginda tetapi mereka menuduh Rasulullah SAW berdusta kerana mana mungkin baginda dapat sampai ke tempat-tempat tersebut dalam masa yang singkat sedang manusia biasa memakan masa yang lama untuk ke sana. Hanya Saiyidina Abu Bakar sahaja yang membenarkan kata-kata baginda lalu beliau diberi gelaran AsSiddiq yang bermaksud " yang membenarkan ".


Moga kita mengambil ibrah daripada kisah agung ini. Wallahua'lam.


P/s: Boleh juga merujuk kepada entry ini dan juga ini. Moga bermanfaat. :)

No comments:

Post a Comment