Saturday, January 22, 2011

Memori FUiYO 2010

Salam.

Genap sebulan berlalunya FUiYO 2010. Namun, ramai yang masih memperkatakan tentangnya. Alhamdulillah, itu tandanya program tersebut ada kesannya dan boleh dianggap agak berjaya.

Kalau tahun 2009 aku merupakan salah seorang peserta FUiYO, tahun 2010 memberi aku peluang untuk menjadi salah seorang Ajk untuk menjayakan FUiYO. Pastinya ini merupakan cabaran baru buat aku dan aku bersyukur kerana dapat merasai pengalaman baru yakni bekerja dalam sebuah team dengan matlamat untuk memberi "sesuatu" yang baik kepada sahabat-sahabat. Terima kasih iLuvIslam kerana memberi kepercayaan kpd aku dan sahabat-sahabat Ajk bagi merealisasikan penganjuran FUiYO pada tahun ini.

Nak tahu cerita tentang FUiYO kali ni? Jom baca laporan kat bawah ni. Maaf la skema je sbb copy je laporan rasmi yang nak dihantar kat iLuvIslam. ( Erk, kantoi malas :P . Tapi adalah yg diubah sikit bagi mengelakkan berlakunya plagiarism..hahah )

*******************************************************************************************

Buat kesekian kalinya, iLuvIslam sekali lagi telah berjaya menganjurkan program tahunan musim sejuk Fun With iLuvIslam’s Youth Overseas 2010 (FUiYO 2010), yang kini telahpun masuk tahun keempat penganjurannya. Program yang berlangsung selama 4 hari 3 malam ini telah berlangsung dengan jayanya dengan dihadiri oleh 113 orang peserta beserta 43 orang ahli jawatankuasa dan fasilitator. FUiYO 2010 ternyata mempunyai keistimewaannya yang tersendiri di mana pesertanya bukan sahaja dari kalangan pelajar yang menuntut di sekitar United Kingdom dan Ireland, malah turut disertai oleh seorang peserta dari Austria. Selain itu, Fuiyo kali ini turut diserikan dengan kehadiran peserta semuda 12 tahun, peserta yang terdiri daripada sepasang suami isteri serta bayi mereka dan juga seorang sahabat yang baru sahaja memeluk agama Islam.


Seperti tahun-tahun sebelumnya, FUiYO 2010 telah diadakan pada tarikh yang sama iaitu bermula daripada 22 Disember dan berakhir pada 25 Disember. Lokasi FUiYO 2010 pula beralih ke bahagian utara United Kingdom iaitu di Lancashire. Tempat program yang dipilih merupakan salah sebuah pusat aktiviti ‘Girlguiding UK’ beralamat di Waddow Hall, Clitheroe, BB7 3LD Lancashire, United Kingdom. Memandangkan FUiYO merupakan sebuah program yang bersifat santai, ternyata lokasi kali ini memenuhi kriteria yang diharapkan di mana peserta bukan sahaja dapat berprogram, malah dapat turut sama bercuti dan menenangkan fikiran di Waddow Hall yang ternyata merupakan sebuah tempat yang sangat selesa serta mempunyai panorama dan pemandangan yang cukup indah apatah lagi pada masa itu tempat tersebut masih diselimuti oleh salji yang memutih.

Sg Ribble yg beku separuh. Subhanallah..
Sekitar Waddow Hall.
Tempat program yg selesa dan lengkap dgn kemudahan yg diperlukan.

Program pada hari pertama dimulakan dengan upacara perasmian oleh wakil jemputan daripada Malaysian Student Department (MSD) yang merupakan Atase Pendidikan di Manchester iaitu Cik Wan Nooraribah Ishak. Pihak FUiYO 2010 amat berbesar hati dengan kehadiran Cik Aribah kerana ini menunjukkan bahawa pihak MSD turut sama memberi sokongan kepada program yang cukup bermanfaat seumpama ini. Selesai ucapan perasmian, program diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Teknikal FUiYO 2010, Mohd Ridhwan Abdul Aziz dan sedikit taklimat mengenai Waddow Hall serta ucapan selamat datang daripada wakil pengurusan di situ. Peserta kemudiannya dihantar ke tempat penginapan masing-masing sebelum program seterusnya iaitu sesi suai kenal bermula.

Mendapat idea daripada ucapan Profesor Tariq Ramadhan yang merupakan seorang ahli falsafah terkenal, pihak modul FUiYO 2010 bersepakat memilih tema: “Explore Your Hidden Potential” dengan tagline “Metamorphosis”. Tema ini bertujuan untuk membawa para peserta mencari potensi diri yang mungkin kurang disedari melalui beberapa proses transformasi sebagaimana yang berlaku kepada seekor ulat beluncas yang akhirnya menjadi seekor rama-rama yang cantik. Potensi itu kemudiannya harus digunakan bagi memberi kesan kepada orang sekeliling serta membawa perubahan kepada dunia. Empat orang penceramah hebat dari pelbagai latar belakang telah pun dibawa khas bagi mengupas konsep serta tema yang dipilih. Mereka adalah Ustaz Ahmad Jailani, Ustaz Muhamad Izzam, Dr Khalid El Awaisi dan Ustaz Syed abdul Kadir. Ternyata kredibiliti serta kelebihan yang ada pada setiap penceramah sedikit sebanyak telah berjaya membuka mata para peserta dalam memahami serta mengaplikasikan konsep “Metamorphosis” yang cuba diketengahkan. Terdapat 7 siri ceramah yang membawa peserta menelusuri konsep tersebut secara kronologi.


Selain daripada ceramah, para peserta turut didedahkan kepada aktiviti yang lebih bersifat aplikasi melalui aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK). Beberapa LDK telah dirangka khas oleh pihak modul bersesuaian dengan konsep dan tema program bagi membantu peserta untuk lebih memahami teori yang telah dibentangkan oleh para penceramah kerana LDK merupakan sesuatu yang lebih bersifat praktikal dan memerlukan para peserta untuk mengambil bahagian dan mengeluarkan pendapat masing-masing serta berkongsi pandangan sesama ahli dalam kumpulan tersebut dengan bimbingan fasilitator masing-masing. Terdapat pelbagai bentuk aktiviti LDK yang telah dijalankan sepanjang program seperti sesi konsultan dan kaunseling, sesi perdebatan, sesi perkongsian pendapat dan sebagainya.

Tidak lengkap kiranya FUiYO tanpa aktiviti serta slot sampingan selain daripada ceramah dan LDK kerana konsep santai dan ceria merupakan salah satu konsep yang ditekankan dalam FUiYO. Antara slot yang menampilkan konsep santai dan ceria ini ialah slot Ceria Pagi di mana pengacara majlis akan berceloteh serta menguji para peserta dengan beberapa teka-teki dan soalan yang menjana minda. Para peserta juga bebas berkongsi teka-teki dan pendapat mereka. Dalam slot tersebut juga, para peserta dibiasakan dengan pengamalan budaya FUiYO iaitu dengan bersalam dengan rakan-rakan, senyum kepada rakan-rakan serta membuat sorakan semangat FUiYO bagi memulakan hari masing-masing dengan penuh semangat. Para peserta turut menyanyikan lagu tema program iaitu ‘The Stand’’ dendangan asal Rascal Flatt. Selain itu, pihak urusetia sentiasa bermurah hati untuk memberikan pelbagai jenis cenderamata kepada para peserta bagi menggalakkan mereka terlibat aktif dalam menjawab soalan, berkongsi pendapat dan sebagainya. Pencapaian para peserta juga turut diraikan dengan memberi anugerah khas FUiYO pada hari terakhir program. Selain itu,terdapat juga aktiviti riadah luar di mana para peserta diberi peluang untuk bermain permainan galah panjang, meluncur salji dan sebagainya. Tidak dilupakan penekanan dari segi kerohanian iaitu dengan mengadakan solat berjemaah, sesi kuliah subuh, tazkirah dan makan beramai-ramai menggunakan dulang. Peserta lelaki turut merasai pengalaman bersolat di atas salji bagi membuktikan bahawa Islam itu sememangnya sentiasa memudahkan para penganutnya.


Alhamdulillah, program yang dirancang telah berjalan lancar dengan kerjasama daripada pelbagai pihak. Rata-rata maklum balas yang diterima daripada peserta terutamanya adalah amat positif dan membanggakan. Mereka amat terkesan dengan pengalaman serta ilmu baru yang telah diperoleh sepanjang empat hari berkampung di FUiYO 2010. Bermula dengan percaya dan yakin, semangat berani mencuba dan bersedia untuk mencuba mulai timbul dan rasa semangat untuk menyumbang kepada orang lain melalui potensi diri semakin berkobar-kobar. Merujuk kepada the “Butterly Effect”, biar sekecil mana pun usaha yang dilakukan, kesannya bisa menjadi lebih besar terhadap orang sekeliling, malah seluruh umat dan dunia tanpa disedari, insyaAllah. Melihatkan semangat-semangat ini, dapatlah disimpulkan bahawa FUiYO 2010 berjaya mencapai objektif yang ditetapkan. Meskipun telah hampir sebulan FUiYO berlalu, masih ramai terutamanya dalam kalangan peserta yang membicarakan mengenai FUiYO di facebook dan blog serta masih bersemangat untuk berkongsi pengalaman masing-masing dengan rakan-rakan lain yang tidak berpeluang untuk turut serta.

Akhir kalam, sekalung penghargaan serta tahniah buat semua yang terlibat secara langsung mahu pun secara tidak langsung dalam menjayakan FUiYO 2010. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga diucapkan buat penganjur utama FUiYO 2010 iaitu iLuvIslam.com, para penaja yang banyak membantu dari segi dana dan kewangan, pihak MSD dan persatuan-persatuan pelajar, para penceramah jemputan, barisan ahli jawatankuasa teknikal dan modul, barisan fasilitator dan seterusnya para peserta FUiYO 2010. Terima kasih atas sokongan, bantuan serta pengorbanan yang telah diberikan. Mudah-mudahan, setiap kebaikan yang kita lakukan akan mendapat ganjaran kebaikan jua daripadaNya serta mampu melahirkan generasi yang berjiwa besar dan bersemangat untuk turut sama menyumbang ke arah ummah yang cemerlang di dunia dan akhirat. Wallahua’lam.

Para peserta FUiYO 2010. Tahniah semua! ^^

**************************************************************

P/s: Alhamdulillah, semua berjalan lancar. FUiYO 2010 pasti menjadi salah satu kenangan terindah aku. Pengalaman bekerja yang amat berharga...Sungguh rasa rindu pulak bila dah tak buat kerja-kerja FUiYO..huhu..



~ FUiYO 2010 dalam kenangan ~

No comments:

Post a Comment